Hujung minggu lepas, ada jiran buat majlis aqiqah untuk anak lelakinya yang baru berusia 7 hari.
Mereka menjemput jiran tetangga di samping ahli-ahli masjid untuk hadir ke majlis tersebut.
Biasalah, kalau dah namanya buat majlis, ramailah yang datang berkunjung.
Nak2 kalau majlis aqiqah, ramailah yang naktengok, dukung, peluk dan cium baby tu.
Kebetulan masa tu saya berada di dalam bilik bersama jiran saya serta baby yang baru dilahirkannya.
Turut sama adalah rakan-rakannya dan saudara maranya.
Ketika kami sibuk berborak, datanglah seorang rakan kepada jiran saya yang dengan tiba-tiba berkata, "Eh, saya nak ubat ni lah, nak beli, ada tak?"
Dia menyuarakan soalan itu kepada jiran saya yang masih dalam pantang dan dari segi percakapannya, dia seperti hendak ubat itu pada ketika itu juga.
Jiran saya pun berkata, "Oh, ada. Saya kena amik kat luar, tunggu kejap ya."
Masa tu jiran saya tengah pegang baby dia yang sedang menangis.
Dalam keadaan begitupun, dia bingkas bangun dan berjalan ke luar bilik menuju ke sebuah kabinet di mana disimpan barang-barang yang dijualnya.
Sejurus kemudian, dia tunduk untuk membuka pintu kabinet, sambil memegang baby, dan mencari-cari ubat yang diingini rakannya.
Saya terkedu.
Punyalah ramai rakan-rakannya yang berdiri sahaja melihat ibu ini tunduk membongkok untuk mencapai botol ubat, meskipun masih memegang bayi.
Tiada yang kasihan melihat ibu ini ataupun yang sudi membantu ibu ini.
Saya tidak dapat membantu ketika itu kerana saya juga memegang bayi saya yang sedang tidur dan kebetulan, saya tidak dapat keluar daripada bilik itu kerana laluannya dihalang oleh rakan-rakan jiran tadi.
Mengapa ya?
Ini majlis aqiqah anaknya, namun, perlukah dibuat urusan jual beli ketika itu?
Tidak dapatkah mereka menunggu waktu yang lebih sesuai?
Perlukah disuruh ibu berpantang ini bangun untuk mendapatkan ubat pada waktu dan ketika itu juga? Tidakkah dia nampak bahawa ibu itu sedang cuba mententeramkan bayinya yang sedang menangis?
Saya sedih kerana tiada perasaan belas kasihan kepada ibu tersebut.
Saya juga ada pengalaman sendiri ketika dalam pantang anak kedua kali ini.
Saya berpantang di rumah ibu, maka ada juga saudara mara yang datang menziarah nenek yang turut tinggal bersama-sama kami.
Ibu akan mengatakan bahawa saya telah bersalin tetapi mereka tidak dapat melawat saya kerana saya sedang diurut atau saya sedang berehat bersama baby.
Ibu tidak menggalakkan orang masuk berjumpa saya dan baby kerana baby masih dalam hari dan antibodi badannya masih lemah.
Nak dijadikan cerita, ada seorang saudara ni masuk berjumpa saya kerana dia hendak melihat dan memegang baby.
Tak lama kemudian, anak kecilnya turut masuk ke bilik.
Semasa anak kecil itu bercakap dengan ibunya, saya perasan bahawa suaranya serak-serak.
Saya pantas bertanya kepada anak kecil itu, "Kenapa suara adik serak?"
Ibunya menjawab, "Dia sebenarnya baru baik selsema tapi sekarang ni batuk pulak."
Ya Allah, saya rasa macam nak nangis sebab risau akan dijangkiti baby pula.
Keesokan paginya saya perasan hidung baby tersumbat.
Ya, baby saya pula terkena jangkitan selsema!
Sedihnya saya waktu itu.
Pada sebelah malamnya, baby saya tak dapat tidur dengan nyenyak kerana dia selsema.
Kalau baby tak dapat tidur, memang saya pun langsung tak dapat tidur!
Saya terpaksa memegang baby sepanjang malam dan cuba mententeramkannya yang asyik menangis kerana hidung kecilnya tersumbat.
Saya sedih.
Mengapa ya, walaupun sudah tau baby mempunyai antibodi yang lemah, masih juga mahu memegang baby walaupun sudah tau anaknya mempunyai batuk dan selsema yang boleh dijangkiti?
Saya mintak sangat2 kepada sesiapa pun di luar sana, janganlah teruja untuk memegang baby yang masih dalam hari.
Sekiranya baby itu jatuh sakit, bukan sahaja ianya terpaksa ditanggung oleh baby yang masih kecil itu tetapi membebankan ibu dan ayah baby itu yang terpaksa berjaga malam untuk menjaga baby.
Yang lebih merisaukan adalah emosi ibu yang baru lepas bersalin agak tidak stabil kerana dia masih cuba menyesuaikan diri dengan baby serta perubahan pada dirinya.
Jika baby jatuh sakit, ia akan turut menambahkan rasa risau kepada ibu baby tersebut.
Saya meluahkan perasaan ini berdasarkan kepada pengalaman sendiri.
Kalau boleh, kasihanilah kaum ibu yang masih berpantang dan hormatilah privacy mereka.
Tempoh berpantang pun 44 hari.
Setelah tamat tempoh berpantang, bolehlah melawat ibu dan baby.
Tambahan pula pada ketika itu, emosi sang ibu lebih stabil dan baby juga sudah boleh berjumpa orang.
Namun, jika hendak memegang baby, masih perlu berjaga-jaga dan pastikan anda membasuh tangan dan anda tidak sakit serta tidak mempunyai apa-apa alat solek di muka/bahan2 kimia yang berkemungkinan boleh memudaratkan baby.
No comments:
Post a Comment
I would love to hear from YOU! :)